Search

PRN17 : PKR Sabah yakin GRS bijak buat keputusan soal kerjasama

August 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bijak menentukan keputusan yang bakal diambil berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin, berkata sebarang cadangan yang dikemukakan pemimpin tertentu berhubung langkah yang diambil GRS ketika ini adalah pandangan peribadi mereka.

Katanya, cadangan seperti dikemukakan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kepada GRS mengenai keputusan bertanding di semua kerusi DUN lebih bersifat peribadi dan bukan disuarakan secara rasmi oleh kepemimpinan GRS.

Bagaimanapun, katanya jika kenyataan Pandikar itu bertujuan menafikan hak parti nasional untuk bekerjasama dengan parti tempatan pada PRN nanti, ia adalah sesuatu yang mengecewakan daripada pemimpin veteran itu.

“Bagi saya itu pandangan peribadi beliau, bukan cadangan rasmi daripada GRS kerana saya percaya kepemimpinan GRS lebih bijak untuk membuat keputusan.

“Namun, jika berkaitan menolak parti Malaya, saya rasa kenyataan itu tidak sesuai kerana kita adalah parti nasional, tapi pemimpin dan ahlinya adalah orang tempatan Sabah, bukan dari luar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pandikar yang mahukan GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN17.

Razeef turut menyamakan pandangan Pandikar Amin itu dengan pandangan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengenai cadangan agar semua parti yang bekerjasama dengan GRS menggunakan logo gabungan itu pada PRN akan datang.

Penggunaan logo sama itu termasuk untuk parti nasional yang diterima bekerjasama dengan gabungan berkenaan.

Katanya, kedua-dua pandangan pemimpin parti komponen GRS itu adalah cadangan peribadi mereka sendiri.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau. Bagi kita, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew sebelum ini sudah memaklumkan bahawa sebarang keputusan kerjasama PRN17 hanya ditentukan selepas DUN Sabah dibubarkan,” katanya. – Info X