TAWAU: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut ditetak seorang kenalan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 33 tahun itu dipercayai ditetak menggunakan sebilah parang oleh suspek warga asing berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang datang ke Balai Polis Inanam, Kota Kinabalu, pada 11.30 pagi tadi, menyatakan adik lelakinya dibunuh, di Kampung Ranggu Cina, di sini.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Indah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menuju ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan polis memaklumkan penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan ditemui di dalam sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Polis kemudian berjaya menahan suspek kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan merampas sebilah parang yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah warga asing yang bekerja sebagai buruh kasar di kebun di kawasan Kampung Ranggu Cina.
Katanya, motif kejadian dipercayai salah faham antara mangsa dan keluarga suspek.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) akan dijalankan esok di Mahkamah Majistret Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X