KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mahu gelaran Yang di-Pertua Negeri Sabah ditukar semula kepada Yang di-Pertua Negara seperti sebutan asal ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, berkata perkara itu ditambah dalam senarai perkara yang diperjuangkannya melalui kelulusan Majlis Tertinggi SAPP.
“SAPP sudah menulis kepada pimpinan Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai cadangan TYT Negara ini dan kita akan terus memperjuangkan isu-isu ini dengan komitmen sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024, di sini, hari ini.
Teck Lee berkata, gelaran itu bagi membezakan Sabah dengan negeri lain sejajar kedudukannya sebagai sebuah wilayah.
Selain itu, katanya SAPP juga meneruskan perjuangan menuntut pengembalian Wilayah Persekutuan Labuan kepada Sabah.
Teck Lee, berkata SAPP tidak akan berhenti memperjuangkan perkara itu kerana yakin ia pasti menjadi kenyataan satu hari nanti.
Keyakinan itu, katanya berdasarkan kejayaan menuntut pengiktirafan Hari Sabah dan pendedahan laporan nahas pesawat dalam Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976.
“Dua perkara yang kita perjuangkan ini akhirnya ditunaikan pada tahun lalu dan tahun ini. Atas sebab itu, kita yakin perkara lain yang kita masih perjuangkan pastikan akan menjadi kenyataan,” katanya.
Katanya, SAPP juga meneruskan perjuangan menuntut beberapa perkara lain berkaitan kepentingan Sabah, antaranya IC Sabah dan Reformasi Tanah. – Info X