Search

Bung Moktar kecewa sikap bekas pemimpin perlekeh perjuangan UMNO

September 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menempelak bekas pemimpin parti itu yang memperlekeh UMNO tanpa menilai jasanya dalam proses kemerdekaan negara.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sikap pemimpin terbabit yang mendapat kesenangan melalui UMNO amat mengecewakan.

Katanya, mereka seolah-olah melupakan peranan dan sumbangan UMNO dalam menuntut serta mengisi kemerdekaan hingga negara mencapai keamanan dan kemakmuran.

“Ketika ini sebilangan rakyat khususnya generasi muda melupai sejarah ini dan lebih malang ada di kalangan pemimpin yang dahulu bersama UMNO, tapi berpindah ke parti lain turut memperlekah perjuangan UMNO.

“Kita kecewa dengan sikap mereka sedangkan UMNO yang berjasa dan meletakkan mereka dalam keadaan serba kesenangan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan yang disambut semalam.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengambil contoh apa yang berlaku di Sabah akhir-akhir ini melalui suara sumbang yang memperlekah jasa dan sumbangan UMNO kepada negara khususnya di Sabah.

Katanya, ia termasuk memainkan sentimen ‘anti parti Malaya’ yang turut terkait dengan UMNO dalam usaha mendapatkan sokongan politik.

Jelasnya, sentimen itu tidak wajar kerana UMNO sudah bertapak di Sabah selama 33 tahun termasuk pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun dengan membawa banyak kebaikan kepada negeri ini.

“UMNO memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri ini dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.

“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, ia melahirkan semangat integrasi nasional yang kukuh antara rakyat dan pemimpin Sabah dengan di Semenanjung serta Sarawak,” katanya.

Beliau mendakwa, sentimen itu seolah-olah menghidupkan isu etnik dan bangsa yang tidak sepatutnya ditimbulkan di negara ini.

Jelasnya, cerminan wajah perpaduan selama kemerdekaan negara akan tercalar akibat tersetusnya sentimen seumpama itu.

Katanya, sentimen etnosentrime itu memberikan kesan terhadap usaha memperkukuh perpaduan ke arah mencapai keharmonian dan kemajuan negeri.

“Wajah perpaduan seharusnya dilakari dengan pengukuhan identiti nasional yang mana kriteria utama sebagai identiti nasional rakyat Malaysia adalah dengan mendukung Rukun Negara,” katanya. – Info X