PAPAR: Seorang maut manakala seorang lagi parah apabila motosikal ditunggang keduanya bertembung dalam kejadian di Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan dekat Kampung Andus, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa lelaki warga asing berusia 54 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda disahkan maut di lokasi kejadian manakala pembonceng berusia 57 cedera ringan.
Penunggang motosikal jenis Honda C100 remaja lelaki berusia 14 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati penunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Kimanis menuju ke Andus bersama seorang pembonceng.
“Pada masa itu, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki terbabit yang datang dari arah Benoni disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung dengan motosikal Yamaha Lagenda.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal Yamaha Lagenda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal Honda C100 parah dan pembonceng motosikal Yamaha Lagenda cedera dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa turut dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X