Search

Gagasan Rakyat, PBS, STAR bersolidariti di Kiulu

September 2, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kiulu menekankan kepentingan solidariti antara Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR dalam usaha memperkukuhkan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan, kerjasama erat antara ketiga-tiga parti utama di Kiulu akan menjadi penentu kepada kejayaan GRS di kawasan berkenaan.

“Kemenangan kita di Kiulu kelak adalah untuk kemenangan GRS bagi memastikan kesinambungan kerja baik di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Maka itu, kita perlu menjiwai semangat solidariti dalam GRS kerana ia adalah kunci kepada kekuatan kita di Kiulu, dan kita mesti memastikan parti PBS, STAR, dan Gagasan Rakyat di sini bergerak seiringan.

“Kita perlu berada di landasan yang sama serta matang dalam menangani perbezaan pandangan,” katanya pada Majlis Solidariti GRS N.15 Kiulu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdul Kassim Razali; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kiulu, Janih Bangud; dan Ketua Bahagian STAR Kiulu, Terence Sinti.

Joniston, yang juga Ketua Bahagian PBS Kiulu dan ADUN Kiulu berkata, setiap komponen parti GRS di Kiulu perlu bijak dalam menguruskan perbezaan pendapat dan memastikan bahawa tiada isu yang boleh menjejaskan perpaduan gabungan di peringkat lokaliti.

Beliau turut menyeru ahli-ahli GRS di Kiulu untuk kekal bersatu dan tidak terpengaruh dengan taktik politik pihak lawan yang cuba memecahbelahkan gabungan dengan membuat tomahan yang tidak berasas.

Sementara itu, Terence memberi komitmen bahawa STAR bahagian Kiulu akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap GRS dan menyumbang kemenangan

“Kita harus menunjukkan GRS ada solidariti di Kiulu dan kita kekal menyokong agar gabungan ini terus memimpin kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Jasnih menekankan bahawa perhimpunan Solidariti GRS perlu diadakan secara berkala untuk memperkukuh perpaduan dan memastikan semangat solidariti di Kiulu kekal kuat.

Tambah beliau, penglibatan yang berterusan melalui perhimpunan ini akan membantu menangani cabaran yang timbul dan memastikan semua ahli selaras dengan matlamat gabungan. – Info X