Search

Jawatankuasa baharu tangani isu kewarganegaraan di Sabah

September 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sabah (JKKSK) dan Pasukan Petugas Khas untuk menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan diri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penubuhan jawatankuasa baharu itu diluluskan pada Mesyuarat Kabinet Negeri, hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu akan meneliti, memastikan, menyelaras dan membantu mempercepatkan permohonan baharu serta tertunggak berkaitan isu kewarganegaraan di negeri ini mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“JKKSK diamanahkan untuk mencadangkan pendaftaran kanak-kanak dan sesiapa saja di bawah umur 21 tahun sebagai warga negara tertakluk kepada Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan – Peruntukan Umum Pendaftaran.

“Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini disebabkan banyak kes kanak-kanak dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti untuk bersekolah.

“Selalunya, ini berlaku disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri Sabah, di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, JKKSK akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri, manakala Jabatan Pendaftaran Sabah dan Bahagian Pendaftaran dan Organisasi Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri akan menjadi sekretariat bersama.

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu.

Katanya, semua permohonan akan disaring dan dicadangkan kepada Jawatankuasa Khas oleh JKKSK – Panel Sabah yang dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah.

“Bagi Pasukan Petugas Khas, ia diwujudkan untuk menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan dan akan diletakkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri,” katanya

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu bertujuan menyelesaikan isu orang tanpa dokumen yang sudah lama berlarutan di negeri ini. – Info X