Search

Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan

September 5, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai dekat sebuah ladang di sini, semalam.

Mangsa Brono Kamil JS Nahak, 25, dikatakan ke sungai kira-kira jam 12.30 tengah hari untuk memungut hasil ikan melalui pukat yang dipasang di sungai berkenaan.

Bagaimanapun mangsa tidak kembali ke rumah sehingga petang.

Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, beberapa rakan mangsa kemudian mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan motosikal, pakaian serta pukat ikan yang koyak kemungkinan mangsa disambar sang bedal.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.28 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 150 Kilometer dari balai.

Pasukan bomba tiba di lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikhuatiri dibaham buaya di sungai dekat sebuah ladang di Kinabatangan. – Foto/Bomba

“Setakat ini, mangsa belum ditemui dan dimaklumkan hanya menemukan motosikal, baju, topi, kasut serta pukat yang koyak berkemungkinan mangsa disambar buaya.

“Operasi SAR masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi pencarian turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X