TUARAN: Seorang pelancong warga Kazakhstan yang hilang ketika aktiviti mandi-manda di sebuah resort, di sini, pagi tadi berjaya ditemui selamat.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun yang sebelum itu dikhuatiri lemas ditemui dalam keadaan separuh sedar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.19 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui oleh pihak kakitangan resort dalam keadaan separuh sedar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9 pagi.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan masih dirawat di hospital,” katanya. – Info X