TAWAU: Seorang pekerja kilang maut selepas dihempap gelung besi di sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.40 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seorang lelaki mengalami kecederaan parah dipercayai akibat dihempap gelung besi.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.19 petang,” katanya. – Info X