Search

PRN17: Rundingan kerusi GRS perlu dibincang secara dalaman – Masiung

September 10, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Rundingan kerusi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) perlu dibincang secara dalaman menerusi semangat kekeluargaan gabungan berkenaan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, berkata perkara itu tidak wajar dibincang secara terbuka agar tidak menimbulkan sebarang isu.

“Sebarang tuntutan kerusi parti-parti komponen GRS wajar dibuat secara tertutup bagi mengelak rakyat terbawa-bawa dengan politik melampau.

“Bukankah kita dalam satu keluarga besar, lebih teliti jika ia dibincang di peringkat tertinggi GRS,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Kapor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Chong Chen Bin @ Ben Chong.

Masiung ditanya mengenai tuntutan parti komponen GRS dan Pakatan Harapan (PH) di media tempatan yang mahukan tambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRN17.

Minggu lalu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mencadangkan supaya GRS bertanding di semua kerusi DUN pada PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Masiung berkata, di peringkat dalaman, Gagasan Rakyat sendiri setakat ini belum membincangkan mengenai perkara itu.

Katanya, pemimpin parti dalam GRS dan PH Sabah tidak wajar memberi kenyataan secara terbuka berhubung agihan kerusi kerana boleh mengeruhkan hubungan baik dalam gabungan.

“Biarlah kita serahkan kepada pemimpin utama GRS dan PH untuk membincangkan perkara itu, janganlah pemimpin peringkat akar umbi membuat andaian, nanti ia boleh mengundang salah faham, ” katanya. – Info X