KOTA KINABALU: Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) secara rasmi menyerahkan pengurusan dan operasi Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) kepada DP World, peneraju global dalam logistik rantaian bekalan pintar hujung-ke-hujung.
Sambil mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak atas perkembangan penting itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kerjasama strategik di antara SPSB dan DP World menekankan potensi Sabah sebagai pemain utama dalam perdagangan serantau dan global.
“Pelaburan DP World dalam SBCP adalah bukti jelas keyakinan mereka terhadap lokasi strategik Sabah serta prospek pertumbuhan yang menjanjikan masa depan baik.
“Kerjasama ini dijangka mengangkat SBCP menjadi hab perdagangan serantau terkemuka dalam BIMP-EAGA dan seterusnya, mengukuhkan pengaruh serta peranan Sabah dalam rantaian bekalan global,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian di antara SBCP dan DP World, di sini, semalam.
Menandatangani bagi pihak SPSB ialah Pengerusinya, Datuk Faisyal Yusof Hamdan Diego dan Pengarah Urusan SBCP, Datuk Ng Kiat Min manakala Naib Presiden Kanan untuk Asia Tenggara DP World/Pengarah SBCP Sdn Bhd, Xavier Eiglier dan Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan DP World Asia Pasifik/Pengarah Urusan SBCP Sdn Bhd, Safuan Basir menandatangani bagi pihak DP World.
Hajiji berkata, dengan meningkatkan kecekapan dan kesalinghubungan pelabuhan, kerjasama itu akan membuka pasaran baharu untuk perniagaan di Sabah, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.
Katanya, ia sekali gus akan memberdayakan perniagaan tempatan untuk meluaskan jangkauan mereka dan bersaing dengan lebih berkesan di peringkat global, seterusnya memacu kemakmuran ekonomi.
“Saya menantikan integrasi logistik maju dan teknologi pintar yang akan memodenkan operasi pelabuhan di Sabah, memastikan pelabuhan kita kekal kompetitif dalam persekitaran perdagangan global yang berkembang pesat.
“Saya memuji Sabah Ports Sdn Bhd atas visi dan dedikasi mereka dalam memastikan kerjasama bersejarah ini dan meletakkan asas untuk pertumbuhan dan peluang bagi Sabah,” katanya.
Sementara itu, kerjasama berkenaan yang dilaksanakan melalui syarikat usaha sama, SBCP Sdn Bhd (yang akan dinamakan semula sebagai DP World Sabah Sdn Bhd), menandakan kemajuan besar dalam landskap maritim dan logistik Sabah serta menjadi langkah pertama DP World dalam pasaran Malaysia.
Di bawah kerjasama itu, SPSB dan DP World komited untuk menjadikan SBCP sebagai hab perdagangan serantau yang terkemuka, khususnya untuk Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Fokus strategik akan merangkumi peningkatan kesalinghubungan SBCP, kecekapan operasi dan kapasiti terminal, dengan memanfaatkan rangkaian global dan kepakaran luas DP World.
Kerjasama itu bertujuan menjadikan SBCP sebagai pelabuhan yang berdaya saing di peringkat global, merangsang perdagangan dan mewujudkan hubungan kukuh antara perniagaan tempatan dan pasaran antarabangsa.
Ia juga dijangka menangani cabaran lama mengenai kos logistik yang tinggi di Sabah dengan mewujudkan rangkaian rantaian bekalan yang tahan lasak dan cekap.
Kerjasama berkenaan bermula pada April 2024 apabila Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World, Sultan Ahmed Sulayem, menandatangani perjanjian strategik, termasuk, antara lain, Perjanjian Langganan Saham dan Pemegang Saham untuk usaha sama itu dan Perjanjian Kerjasama antara JV dan SPSB.
Penyerahan operasi berlaku pada 9 September 2024, menandakan permulaan transformasi SBCP dan integrasinya ke dalam rangkaian pelabuhan dan logistik luas DP World di seluruh dunia.
DP World, yang beribu pejabat di Dubai, mempunyai operasi di lebih daripada 70 negara dan terkenal dengan peranannya dalam menjadikan Dubai sebagai hab perdagangan global melalui pembangunan Pelabuhan Jebel Ali dan Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA). – Info X