KOTA KINABALU: Taktik sindiket yang mengikrar barangan lain untuk menyeludup masuk minuman keras bernilai RM436,021 termasuk cukai terbongkar apabila berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah.
Minuman keras yang disimpan dalam kontena dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan dirampas selepas berjaya dikesan menggunakan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar, pada 4 September lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kontena berkenaan dibawa masuk dengan diikrarkan sebagai produk keperluan rumah, pakaian dan perabot.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, semua kontena berkenaan sebenarnya berisi 19,800 liter minuman keras jenama ‘Iceberg’.
“Semua minuman berkenaan dianggarkan bernilai RM75,042, manakala nilai duti dan cukai pula adalah sebanyak lebih RM360,979.
“Tindakan penyeludup melakukan kegiatan ini bukan saja dipercayai mahu mengelak membayar cukai tetapi juga disebabkan prosedur permit mengimport barangan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.
Siti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133 (1)(a) akta sama iaitu mengimport barang-barang larangan serta menyimpan barang larangan.

“Bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.
“Pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X