KOTA KINABALU: ‘QR Code Aduan Masyarakat’ yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah mampu menjadi platform terbaik bagi penyaluran maklumat pantas antara masyarakat dan polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, platform yang pertama seumpamanya di Malaysia itu adalah hasil inisiatif Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah.
Katanya, tujuan utama penyediaan aplikasi berkenaan adalah untuk menyantuni serta menyelami segala permasalahan yang dihadapi masyarakat khususnya di pusat bandar.
“Sebelum ini, polis menyediakan 15 Op Payung di sekitar pusat bandar bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman orang ramai.
“Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa serta keluasan kawasan yang perlu dipantau, Op Payung dilihat sudah tidak lagi mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan QR Code Aduan Masyarakat di Pondok Polis Warisan Square di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Jauteh berkata, disamping penggunaan platform berkenaan, pihaknya masih mengekalkan cara konvensional iaitu penggunaan Peti Aduan Polis dan aplikasi Volunteeer Smartphone Patrol (VSP).

Katanya, selaras dengan pembangunan teknologi digital, penggunaan imbasan kod QR ini memudahkan masyarakat selain menambahbaik perkhidmatan polis untuk lebih efisien.
“Inisiatif imbasan kod QR dilihat mudah berikutan kaedah ini tidak lagi asing kepada masyarakat selain boleh digunakan setiap lapisan masyarakat berbanding aplikasi VSP yang tidak dimiliki oleh semua pihak.
“Imbasan kod QR juga antara kaedah mudah dan cepat dalam menyalurkan maklumat untuk pengguna sekiranya tersesat, masalah aliran trafik, kemalangan atau mengalami kecederaan semasa berada di sini.
“Sebagai permulaannya, PDRM Kontinjen Sabah memilih empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar sebagai perintis.
“Hasilnya akan dijadikan sebagai kayu pengukur kepada keberkesanan platform yang dilancarkan sebelum diperluaskan ke seluruh daerah di Sabah,” katanya.
Jauteh berkata, JPJKK Kontinjen Sabah khususnya Bahagian Pendataan atau Analisa akan bertanggungjawab terhadap perlaksanaan imbasan kod QR ini.
Katanya, segala maklumat yang disalurkan akan ditapis dan diteliti dari segi kesahihan sesuatu maklumat sebelum sebarang tindakan diambil.
“Polis Kontinjen Sabah meletakkan harapan yang tinggi terhadap pendekatan ini agar dapat bersama-sama dengan masyarakat mewujudkan persekitaran yang harmoni dan bebas jenayah.
“Segala bentuk maklumat yang disalurkan melalui platform ini adalah rahsia dan akan diambil tindakan sewajarnya di dalam memberi kepuasan hati pelanggan selari dengan moto PDRM ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya. – Info X