KOTA KINABALU: Tiga kerani sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, di sini, dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan muntah disyaki akibat terhidu gas ammonia, tengah hari tadi.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua daripada kerani terbabit menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), manakala seorang lagi di HQE 2.
Bagaimanapun, katanya kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu hanya membabitkan tiga kakitangan wanita terbabit dan tiada murid atau guru yang dilaporkan mengalami gejala sama.
“Satu insiden kebocoran gas, disyaki gas ammonia dilaporkan berlaku di Pejabat Am SK Likas pada kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
“Bagaimanapun, tiada murid sekolah itu dilaporkan terjejas, kecuali tiga kerani sekolah yang berada di Pejabat Am sekolah.
“Ketiga-tiga mereka dikejarkan segera ke hospital selepas mengalami gejala mual, sesak nafas dan muntah.
“Keadaan mereka bagaimanapun dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jelasnya, pihak sekolah turut mendapatkan bantuan segera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bagi memantau situasi di sekolah berkenaan.
Katanya, hasil pemantauan dan penilaian HAZMAT bagaimanapun mendapati bacaan udara di lokasi kejadian adalah normal.
“Penilaian HAZMAT juga mendapati tiada sisa radioaktif dan kebocoran bahan kimia. Bagaimanapun, HAZMAT mengarahkan supaya bilik (Pejabat Am) dibiarkan terbuka semalaman.
“Secara keseluruhan, hasil pemeriksaan HAZMAT mengesahkan keadaan udara di persekitaran SK Likas dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya pihak sekolah sudah diarah untuk memastikan tahap keselamatan murid dan warga sekolah sentiasa terjaga.
Sebelum itu, insiden di sekolah berkenaan viral di media sosial kononnya berlaku kebocoran gas ammonia yang membabitkan ramai mangsa, namun disangkal Jabatan Pendidikan berdasarkan laporan awal kes. – Info X