Search

Memerang cari makan di Perdana Park sebelum serang pengunjung – Jabatan Hidupan Liar

September 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kumpulan memerang yang menyerang pengunjung Perdana Park Tanjung Aru, di sini, pagi tadi, dipercayai datang ke taman itu untuk mencari makanan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Roland Oliver Niun, berkata memerang terbabit mungkin mahu mencari makanan di kolam taman itu.

Beliau juga mengakui memang terdapat populasi memerang liar yang dikesan berhampiran taman itu dan ada kemungkinan mereka diberi makanan oleh orang ramai yang menyebabkannya berubah tingkah laku.

“Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami telah memerhatikan perubahan tingkah laku apabila orang awam memberi makan kepada mereka.

“Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, mereka boleh menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan tidak disediakan seperti yang diharapkan,” katanya, di sini.

Beliau berkata JHLS sudah berhubung dengan pihak pengurusan Perdana Park dan menasihati mereka untuk membaiki pagar bagi mengelakkan kumpulan memerang menceroboh kawasan itu.

Katanya, pengurusan taman juga diminta melaporkan kepada JHLS jika melihat kehadiran memerang di sekitar taman berkenaan.

“Selain itu, kita mencadangkan pihak pengurusan taman supaya memantau pagar dengan teliti dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi antara pengunjung dan memerang, sekali gus mengelakkan kejadian berulang.

“JHLS juga menimbang untuk memindahkan memerang terbabit sebagai langkah penyelesaian berpotensi walaupun ia agak mencabar untuk dilaksanakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberi makan atau memprovokasi sebarang haiwan liar bagi mengelak interaksi dengan manusia.

Jelasnya, interaksi manusia-hidupan liar boleh mengubah tingkah laku haiwan terbabit yang kemudiannya membawa kepada insiden tidak diingini pada masa depan. – Info X