KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, esok.
Mesyuarat yang bermula jam 2.30 petang itu dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mesyuarat itu adalah antara program yang disusun dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah kali ini yang bermula malam ini.
Beliau dijadual tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pada jam 8 malam ini sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Magellan Sutera, di sini, pada jam 8.30 malam.
Pagi esok pula, Perdana Menteri dijadual berlepas ke FELDA Sahabat, Lahad Datu bagi menghadiri program Santunan Budi Tautan Kasih FELDA MADANI di FELDA Sahabat, Lahad Datu yang dijadual bermula pada jam 9.30 pagi.
Selesai majlis di pantai timur itu, Anwar dijadual kembali ke ibu negeri bagi menghadiri Mesyuarat MTPMA63 pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Beliau sekali lagi dijadual datang ke Sabah pada Isnin depan bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Padang Merdeka, di sini. – Info X