Search

Bayaran khas untuk Sabah, Sarawak naik kepada RM600 juta

September 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta daripada RM300 juta mulai tahun depan.

Kenaikan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024, petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peningkatan bayaran interim itu sepatutnya diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025, namun Perdana Menteri membuat keputusan mengumumkan lebih awal, hari ini.

“Peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing diberikan RM300 juta pada tahun lalu, ini cuma bayaran interim kerana formula pembayaran belum dapat dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, bayaran interim itu dinaikkan kepada RM600 juta bermula pada 2025. Perdana Menteri mengumumkannya pada mesyuarat tadi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MTPMA63 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), petang tadi.

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Hadir sama tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir ialah tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Fadillah berkata, pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya dikaji setiap lima tahun sekali, namun Perdana Menteri membuat keputusan menaikkan jumlah itu lebih awal.

“Sabah dan Sarawak menerima dengan hati yang terbuka kenaikan jumlah itu, tapi kita masih mencari jalan untuk mendapatkan formula bagi pembayaran khas untuk kedua-dua negeri.

“Apa yang penting kita ucap terima kasih sebab ada kenaikan, ia lebih untuk membantu Sabah dan Sarawak, bagaimana digunakan terserah kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah, Fadillah berkata perkara itu tidak dapat dibincangkan berikutan masih dalam prosiding mahkamah. – Info X