KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyifatkan peningkatan bayaran khas kepada Sabah dan Sarawak mulai tahun depan sebagai menunjukkan kesungguhan kerajaan Persekutuan memenuhi tanggungjawabnya kepada negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peningkatan RM300 juta pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak itu juga satu pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan Sabah.
Jelasnya, jumlah baharu sebanyak RM600 juta itu penting sementara menunggu pelasanaan kelayakan 40 peratus hasil Sabah yang dituntut negeri ini.
“Sabah mengalu-alukan pembayaran khas interim sebanyak RM600 juta ini sementara menunggu penyelesaian hasil 40 peratus Sabah.
“Ini adalah pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan Sabah dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan, haru ini.
Jumlah baharu pembayaran khas interim itu diumunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya, di SICC, hari ini.
Hajiji turut menyatakan penghargaan kerajaan negeri terhadap isu di bawah MA63 yang sudah diselesaikan termasuk penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh kepada Sabah pada awal tahun ini.
“Saya berharap semua isu yang belum diselesaikan akan terus diusahakan dan dilaksanakan untuk kebaikan kedua-dua pihak,” katanya. – Info X