KINABATANGAN: Lebih 150 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 44 rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pinangah, Tongod, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga, berikutan api marak dengan cepat selain kedudukan rumah yang rapat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.24 malam.
Katanya, sepasukan 13 orang anggota bersama dia buah jentera dan utiliti bergegas ke tempat kejadian yang terletak 174 kilometer.

“Laporan anggaran jumlah kebakaran rumah yang terbabit sebanyak 44 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal.
“Turut terbakar sebuah kenderaan yang terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan bomba masih memadam kebakaran berkenaan.
“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X