Search

Ribuan pengunjung meriahkan Hari Malaysia di Padang Merdeka

September 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengunjung sambutan Hari Malaysia membanjiri Padang Merdeka, di sini, seawal jam 5 petang ini bagi menyaksikan detik bersejarah ulang tahun pembentukan negara yang ke-61 pada tahun ini.

Meskipun acara rasmi dijadual bermula pada jam 8.30 malam, kehadiran ribuan pengunjung lebih awal di Padang Merdeka menggambarkan sambutan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama memeriahkan Hari Malaysia.

Padang Merdeka yang menjadi lokasi perhimpunan memperingati hari bersejarah pembentukan Malaysia pada tahun ini adalah lokasi sama menjadi saksi pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Pengisytiharan itu membabitkan penggabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu hasil persetujuan rakyat dan pemimpin setiap wilayah terbabit untuk membentuk sebuah negara baharu.

Bagi sambutan ke-61 ini, pelbagai acara pengisian sudah disusun rapi sebagai tatapan pengunjung dan pemimpin dari seluruh negara yang dijangka membanjiri lokasi bersejarah itu.

Program sambutan Hari Malaysia kebangsaan itu dijadual bermula pada jam 8.30 malam sejurus ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut dijadual hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg. – Info X