Search

PM kagum semangat orang Sabah

September 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengagumi semangat rakyat Sabah yang tidak berganjak meskipun hujan lebat untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata, semangat yang ditunjukkan rakyat Sabah itu mendorongnya untuk datang ke negeri ini setiap dua minggu sekali.

“Saya akhiri sekali lagi dengan menyertakan penghargaan. Kepada sahabat saya, saudara Datuk Seri Hajiji (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) dan pimpinan jawatankuasa yang melaksanakan majlis ini.

“Dan semangat anak-anak Sabah ini luar biasa. Hujan lebat, tapi dia (orang ramai) tak bergajak. Inilah sebabnya saya dua minggu sekali datang ke Sabah.

“Saya ingatkan hari ini Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata dia mesti ikut. Dia mulai bimbang.

“Mengapa abang Anwar terlalu kerap ke Sabah dan ke Sarawak. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih,” katanya ketika mengakhiri ucapan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Majlis yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Anwar bersalaman dengan Ketua Menteri sejurus tiba di Padang Merdeka.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dianggarkan lebih 30,000 hadirin membanjiri Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada malam ini bagi menyaksikan sambutan ulang tahun negara yang ke-61 pada tahun ini.

Sambutan yang bermula pada jam 8.30 malam itu bagaimanapun terganggu disebabkan hujan lebat, menyebabkan pengunjung yang membanjiri Padang Merdeka basah kuyup.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu melihat Malaysia terus megah dan hebat serta mencatat kemajuan yang membanggakan. – Info X