Search

Sabah tetap pertahan kedaulatan dalam Malaysia

September 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan negeri ini selama-lamanya.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, malam ini.

Beliau berkata, walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namun semua itu tidak melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk terus mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Persekutuan Malaysia.

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.

“Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.

“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan kerajaan.

“Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.

“Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan saja suatu keputusan yang bijak dan tepat tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Jelasnya, walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Penyediaan dan menambah baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya.

“Sungguhpun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang berkaitan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Tun Juhar memotong kek sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan; khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.

“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama.

“Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” katanya. – Info X