Search

Hari Malaysia disambut meriah, 40,000 banjiri Padang Merdeka

September 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 40,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Acara dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah itu dimulakan dengan persembahan Tarian Sambut Tamu Heart of Sabah memaparkan kepelbagaian kaum di Sabah.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan medianya berkata, tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka pada sambutan kali ini diterjemah menerusi elemen kreatif pertunjukan hologram dan persembahan bunga api.

Pada program itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Abang Johari Tun Abang Openg turut menyempurnakan acara simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024.

Perdana Menteri menandatangani buku khas sambutan Hari Malaysia.

Ia kemudian disusuli upacara memotong kek Hari Malaysia 2024 yang disempurnakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Kemeriahan acara juga disemarakkan dengan perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Tahun 2024 dengan membawa Jalur Gemilang yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerangan Sabah dan seterusnya upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perarakan membawa Jalur Gemilang.

Turut diadakan persembahan Rumah MADANI Jiwa Merdeka yang memfokuskan nilai-nilai patriotisme, kemerdekaan dan perpaduan sebagai terjemahan kepelbagaian etnik dan budaya di Malaysia.

Persembahan itu melibatkan lima segmen utama iaitu Negaraku, Perpaduan, Dinamik Kemajuan, Transformasi Negara dan Jiwa Merdeka yang diselaraskan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024. – Info X