Search

Hospital UMS mulakan operasi Januari 2026

September 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini sedang dalam pembinaan dijangka memulakan operasi pada Januari 2026.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata jangkaan itu berdasarkan jadual penyiapan kerja pembinaan pada Disember tahun depan.

Katanya, fasiliti kesihatan yang berkapasiti 400 katil itu mampu membantu menyelesaikan masalah mendapatkan khidmat kesihatan yang dihadapi masyarakat negeri ini.

“Dengan adanya HUMS ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah mendapatkan khidmat perubatan masyarakat sekitar dan akan turut meningkatkan fiskal pendapatan dan ekonomi rakyat negeri Sabah khususnya,” katanya dalam perkongsian di Facebook beliau.

Perkembangan terkini pembinaan hospital berkenaan dikongsikan Zambry selepas meninjau kerja pembinaan di kampus induk UMS, di sini, petang semalam.

Zambry meninjau kemajuan projek pembinaan Hospital UMS.

Ketika tinjauan itu, beliau diberi taklimat terkini kemajuan projek oleh pihak HUMS dan wakil syarikat konsesi yang dilantik.

“Prof Madya Dr Malehah Datuk Mohd Noh, Pengarah HUMS dalam taklimatnya menceritakan tentang proses pembinaan HUMS yang akan menyediakan lebih daripada 400 katil wad dan turut tersedia servis perkhidmatan perubatan pelbagai penyakit.

“Saya turut dibawa melawat sekitar kawasan tapak projek untuk melihat secara dekat perkembangan projek tersebut.

“Alhamdulillah banyak yang telah tersedia dan insya-Allah pembinaan fizikal Hospital UMS dijangka akan siap pada bulan Disember 2025 dan akan mula beroperasi pada bulan Januari 2026,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, HUMS yang dilengkapi 400 katil, 25 dewan bedah dan 12 unit bersalin, selain pelbagai kemudahan lain dibina dengan kos RM652 juta. – Info X