Search

44 kes pokok tumbang di seluruh negeri

September 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 44 pokok tumbang yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini akibat hujan dan angin kencang, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, semua kes berkenaan diterima bermula jam 7 pagi hingga 3 petang tadi.

Katanya, daerah Kota Kinabalu merekodkan lima kes pokok tumbang dan diikuti daerah Penampang dengan empat kes.

“Daerah Tenom dan Kuala Penyu pula mencatatkan tiga kes dan dua kes pokok tumbang dilaporkan di daerah Papar.

“Manakala selebihnya masing-masing satu kes di daerah Papar, Sook, Sipitang, Tuaran dan Putatan serta Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan jam 4 petang tadi.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kejadian melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan di daerah terlibat.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima 21 panggilan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, antara lokasi terlibat adalah di beberapa jalan utama antaranya Jalan Tuaran Bypass, Jalan Padang Bandaran, Jalan Pintas Ujana dan Jalan Lintas. – Info x