KOTA KINABALU: Peserta Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya mendapat pekerjaan selepas menamatkan latihan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan negeri sejak program itu diperkenalkan dua tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peserta mendapat pendedahan alam pekerjaan menerusi penempatan di kementerian dan agensi kerajaan negeri, sebelum memilih kerjaya tetap sama ada dalam sektor awam atau swasta.
“Hari ini kita menyampaikan watikah kepada graduan yang mendapat keputusan cemerlang dari universiti untuk menyertai apa yang kita panggil Felo SMJ.
“Tujuannya ialah untuk kita memilih anak-anak kita yang cemerlang dalam pendidikan, kita latih jadi pemimpin akan datang dengan dedahkan mereka di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan.

“Daripada semua Felo SMJ 1.0 dan 2.0, semua sudah dapat kerja yang baik-baik. Jadi, kita berpuas hati terhadap pencapaian program ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan watikan pelantikan Felo SMJ 3.0 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan.
Program itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama MBS dan Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut melancarkan Pertubuhan Alumni Felo SMJ (PAFSMJ) yang ditubuhkan melalui kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah, IKEBS dan bekas peserta Felo SMJ.

Felo SMJ 1.0 dan 2.0 sebelum ini masing-masing memberi latihan kepada seramai 24 dan 25 peserta, manakala Felo SMJ 3.0 pada tahun ini disertai seramai 30 orang.
Bagi program pada kali ini, fokus tertumpu kepada kelompok belia graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) sebagai usaha menyediakan pemimpin masa depan dan ‘talent pool’ kepada kepimpinan Sabah pada masa depan.
Peserta ditempatkan di 10 kementerian negeri selain 17 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Daripada 30 orang peserta Felo SMJ 3.0 yang dipilih tahun ini, seramai 14 orang adalah lelaki, manakala 16 orang adalah perempuan. – Info X