KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan penggunaan meter pintar yang dilengkapi teknologi terkini bagi menambah baik kualiti perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata meter baharu itu dapat mendorong pengguna untuk menggunakan elektrik dengan lebih berkesan dan jimat tenaga.
Katanya, menerusi penggunaan meter pintar juga, pengguna dapat merancang jumlah atau had penggunaan elektrik bulanan dan akan menerima notifikasi apabila jumlah bil sasaran bulanan mencapai had yang ditetapkan.
“Ciri-ciri baharu ini bertepatan dengan usaha SESB mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dengan memperkasakan bidang ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, projek meter pintar itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pemasangan fasa satu sebanyak 6,497 unit.
Katanya, fasa satu tertumpu kepada Kategori Pengguna Kuasa Tinggi (Large Power Consumer) dan pemegang akaun Feed-in-Tariff (FiT).
“Sebanyak 60 unit akan dipasang dalam tempoh dua bulan fasa percubaan ini. Ia mensasarkan pengguna yang telah dipilih untuk memastikan sistem dan operasi pengebilan lancar.
“Baki 6,437 unit lagi akan dilaksanakan sebaik sahaja fasa percubaan mencapai objektif pelaksanaan projek ini,” katanya.
Jelasnya, fasa dua projek itu akan dilaksanakan pada 2025 dengan mensasarkan pengguna domestik di bandar raya Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan selari dengan tema KK Smart City dan WP Labuan Smart Island. – Info X