Search

Felo SMJ bantu belia Sabah timba pengalaman kerja

September 19, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) disifatkan sebagai inisiatif yang baik untuk membantu golongan belia, khususnya graduan menimba pengalaman kerja melalui kementerian atau agensi kerajaan.

Graduan English For Profesional dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dayangku Adriana Ag Alimat, 25, berkata inisiatif kerajaan negeri itu adalah program yang baik untuk memberi peluang kepada belia Sabah.

Beliau adalah antara 30 peserta Felo SMJ 3.0 yang menerima watikah bagi menyertai program itu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Adriana yang ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Asian Supply Base (ASB) di Labuan, berkata program itu juga satu platform yang baik kepada belia untuk menjadi pemimpin pelapis negeri.

“Saya sangat bersyukur diberi peluang ini untuk menjadi salah satu pelapis barisan pemimpin d negeri Sabah. Saya juga berharap Felo SMJ ini akan terus diperkasakan pada masa aakan datang,” katanya.

Dayangku Adriana Ag Alimat.

Sementara itu, graduan Kajian Politik dan Pemerintahan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Mohd Fiehzan Rosmon, 23, pula berpendapat program itu adalah platform yang baik kepada belia mendapat pendedahan cara mengurus kementerian atau GLC.

Beliau yang ditempatkan di Institut Kerjasama Rakyat dan Kerajaan (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri Sabah, berkata ia adalah pengalaman yang sangat baik untuk belia di Sabah.

Mohd Fiehzan Rosmon

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata program di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah itu adalah antara usaha membangunkan belia di negeri ini.

“Kita membuka ruang seluas-luasnya kepada belia Sabah untuk sama-sama merasai pentadbiran kerajaan negeri.

“Mereka juga sebenarnya diberi peluang untuk mengemukakan pandangan mereka mengenai pentadbiran negeri. Jadi, suara felo belia Sabah ini kita dengar,” katanya.

Datuk Fairuz Renddan

Program Felo SMJ dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS) dan Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).

Felo SMJ 1.0 dan 2.0 sebelum ini masing-masing memberi latihan kepada seramai 24 dan 25 peserta, manakala Felo SMJ 3.0 pada tahun ini disertai seramai 30 orang.

Bagi program pada kali ini, fokus tertumpu kepada kelompok belia graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) sebagai usaha menyediakan pemimpin masa depan dan ‘talent pool’ kepada kepemimpinan Sabah pada masa depan.

Peserta ditempatkan di 10 kementerian negeri selain 17 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dengan masing-masing 14 orang peserta lelaki, manakala 16 perempuan. – Info X