LAHAD DATU: Seekor gajah bertina ditemukan mati di sebuah ladang di Begahak, di sini, pada Selasa lalu.
Difahamkan, kira-kira jam 9 pagi hari yang sama orang awam melihat seekor gajah cedera di kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL)
Bagaimanapun, sebaik kakitangan JHL tiba di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan mendapati gajah berkenaan telah mati.
Kakitangan JHL kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati tiada kesan luka tembakan pada gajah berusia sekitar dua hingga tiga tahun itu. Laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Jimmy A/K Panyau mengesahkan bahawa laporan telah dibuat.
Dalam pada itu, Jimmy turut mengesahkan bahawa mereka turut menerima laporan berikutan seekor buaya jantan ditembak mati di Kampung Segangan II, pada hari yang sama.

Sebelum itu, pihak JHL telah membuat pemantauan di Kampung Segangan II dan mengesan kehadiran seekor buaya berukuran kira-kira 11.7 kaki berhampiran tebing sungai.
Empat tembakan dilepaskan ke arah buaya berkenaan dan bangkai reptilia itu kemudian dibawa ke JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut. – Info X