Search

Warga emas disahkan meninggal dunia selepas 10 jam tersepit dalam lori simen akibat kemalangan

September 23, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Warga emas yang tersepit selepas lori tangki simen yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Batu 18, Jalan Sandakan – Lahad Datu, awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan.

Mangsa Abd Halim Bolong, 72, hanya dapat dikeluarkan pada kira-kira jam 12 tengah hari ini, selepas kira-kira 10 jam kemalangan berlaku berikutan kesukaran menarik lori tangki simen terbabit keluar dari gaung sedalam 10 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama empat jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Lori tangki simen yang dipandu mangsa terbabas hingga menyebabkan mangsa tersepit dan tertimbus di dalam tanah. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.

“Pemandu lori terbabit tersepit dan tertimbus di dalam tanah, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa parah akibat tertimbus dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tertimbus di dalam tanah dalam kemalangan di Batu 18, Jalan Sandakan-Lahad Datu. – Foto/Bomba

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital dan kes diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X