Search

Guarana bernilai tinggi, boleh bantu atasi kemiskinan jika dibenarkan di Sabah – Jeffrey Kitingan

September 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah merancang untuk mengembangkan tanaman Guarana bagi memanfaatkan nilai ekonomi tumbuhan itu yang mampu memberi pulangan baik jika dibenarkan ditanam di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata jika boleh dikomersialkan, tanaman berasal dari Brazil itu disasar boleh membantu mengatasi masalah kemiskinan penduduk luar bandar di Sabah.

Katanya, ia berikutan nilai pasaran biji tumbuhan dengan nama saintifik Paullinia cupana itu mencecah RM60 sekilogram, dengan setiap pokok dianggarkan mampu menghasilkan hingga 40 kilogram setahun.

Beliau bagaimanapun, berkata tumbuhan yang memiliki nilai farmaseutikal itu masih dilarang ditanam bagi tujuan komersial di negara ini berikutan dua isu yang menjadi kekangan utama kepada usaha mengembangkan penanamannya di Malaysia.

“Masalah yang pertama berkaitan dengan undang-undang Brazil dan tuntutan negara itu terhadap akses sumber genetik tumbuhan berkenaan mengikut Protokol Nagoya.

“Kedua, ia dikaitkan dengan bahaya menanam Guarana kepada tanaman lain, khususnya getah kerana dikatakan ada fungus yang boleh merosakkan tanaman lain terutama getah.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada jawapan berhubung dakwaan bahawa Guarana boleh merosakkan tanaman lain, terutama getah yang menjadi komodoti penting kita.

“Kemungkinan juga dakwaan itu hanya satu propaganda untuk menghalang kita daripada menanam Guarana,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Guarana Borneo (BIG C) 2024, di sini, hari ini.

Persidangan julung kali yang turut disertai pengkaji dari Indonesia, Sarawak dan Semenanjung itu dianjurkan Cupana Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Koperasi STAR Sabah Berhad dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata walaupun Guarana berasal dari Brazil, tanaman itu sudah ditanam di Semenanjung selama tujuh keturunan dan kajian menunjukkan tiada bahaya dibawa tumbuhan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata ada bukti menunjukkan bahawa tanaman itu turut menjadi spesies asal di Borneo dan ditemui di Sarawak, selain sudah ada di Sabah sejak 30 tahun lalu yang ditanam di Lagud Sebrang, Tenom.

Berikutan itu, katanya tiada isu yang menghalang usaha untuk memajukan penanaman Guarana, khususnya di Sabah memandangkan ia sudah ada di negeri ini.

Katanya, isu tuntutan Brazil terhadap tanaman itu juga tidak timbul kerana biji benih yang akan digunakan untuk mengembangkan tanaman berkenaan adalah yang sudah sedia ada di Sabah.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua halangan itu perlu dijawab dengan jelas pada persidangan dua hari BIG C 2024 itu sebagai bukti kukuh bahawa dakwaan mengatakan Guarana boleh merosakkan tanaman getah adalah tidak benar.

“Tanaman ini boleh membantu menangani kemiskinan, terutama di luar bandar. Jadi perlu mendapatkan jawapan kepada dua masalah itu.

“Selepas itu, saya akan bawa perkara ini ke Kabinet negeri dan beri taklimat kepada jemaah menteri supaya kita dapat buat keputusan.

Guarana mengandungi kafien yang tinggi dan antara lain digunakan dalam minuman tenaga, selain ramuan herba untuk tujuan perubatan. – Info X