KOTA KINABALU: Sabah kini dihubungkan dengan 10 bandar raya utama di China berikutan penyambungan semula penerbangan terus dari Kunming ke Kota Kinabalu.
Ketibaan penumpang pesawat AirAsia dari bandar raya berkenaan disambut Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, awal pagi tadi.
Laluan Kunming-Kota Kinabalu itu beroperasi tiga kali seminggu, melengkapi laluan penerbangan terus AirAsia yang lain iaitu ke Hong Kong, Guangzhou, Hangzhou, Shenzhen, Wuhan, Shanghai, Beijing dan Ningbo.
Sebagai tambahan, syarikat penerbangan dari China, Xiamen Air menawarkan penerbangan terus bagi laluan Fuzhou-Kota Kinabalu.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata walaupun China kekal sebagai pasaran yang signifikan bagi Sabah, STB tetap berusaha untuk meneroka peluang pasaran baharu.
“Kita dalam perbincangan dengan rakan penerbangan kita, khususnya AirAsia untuk menjadikan Sabah sebagai kunci hab pengembaraan di Borneo.
“Kita mahu meneroka pasaran baharu seperti Vietnam, India, Asia Tengah dan turut merancang, antara lainnya untuk mengembalikan penerbangan terus dari Australia.
“Dengan pembangunan Nusantara, Indonesia yang sedang dilaksanakan, kita perlu membina satu hab yang kuat dan mengambil setiap pasaran yang menjurus ke arah lebih banyak laluan antarabangsa,” katanya.
Ketika ini, AirAsia sedang dalam usaha untuk menghubungkan Sabah dengan lebih banyak bandar raya antarabangsa termasuk Shantou (China) dan Kaohsiung (Taiwan), dijangka dilancarkan pada November depan.

Laluan antarabangsa lain yang dikendalikan AirAsia termasuk destinasi utama Asia Tenggara seperti Singapura, Manila, Jakarta, Bali dan Manado, selain Taipei di Taiwan dan Seoul, Korea Selatan.
Syarikat penerbangan antarabangsa lain yang menyediakan penerbangan terus ke Sabah ialah Air Busan (Busan-Kota Kinabalu), Scoot (Singapura-Kota Kinabalu), Shanghai Airlines (Shanghai-Kota Kinabalu), China Southern (Guangzhou-Kota Kinabalu) dan Royal Brunei (Bandar Seri Begawan-Kota Kinabalu).
Dari Januari hingga Julai lalu, Sabah menerima kehadiran 262,070 pelawat dari China, mencapai 70 peratus daripada ketibaan sebelum pandemik COVID-19.
Ia diikuti pelawat dari Brunei dan Korea Selatan masing-masing dengan 124,521 dan 106,573 orang, menjadikan Sabah sebagai pasaran ketiga tertinggi pelancong antarabangsa. – Info X