Search

Warga emas dipenjara lima tahun kes amang seksual remaja

September 26, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang warga emas dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada Mei tahun lalu.

Tertuduh yang juga warga Australia, Jack Wong, 75, dijatuhi hukuman itu pada prosiding penghakiman Mahkamah Sesyen Tawau di hadapan Hakim Rosli Ahmad, di sini, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pick Yard, di sini, antara jam 7.20 pagi hingga 8 pagi pada 20 Mei 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam, Mark Rosaidey Mohd Amin.

Seramai dua saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 3 Januari lalu, manakala tertuduh sendiri adalah satu-satunya saksi pihak pembelaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah menangguhkan hukuman itu terhadap anak guamnya dengan mengekalkan jumlah wang jaminan sebelum ini.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu. – Info X