KOTA KINABALU: Empat lelaki disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan, nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan selepas kegiatan mereka dikesan oleh pasukan keselamatan berhampiran Pulau Sepanggar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sebanyak 400 kilogram ikan pelbagai jenis serta peralatan bahan letupan disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu.
Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, rampasan itu dalam satu operasi rondaan bot maritim di kawasan perairan berkenaan.
Katanya, bot berkenaan dirampas pada jarak hampir 0.17 batu nautika timur laut Pulau Sepanggar.
“Menyedari kehadiran bot ronda maritim, empat lelaki yang berada atas bot pam nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada diperiksa oleh APMM.
“Seterusnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan lain beserta pelbagai spesis ikan dengan anggaran kira-kira 400 kilogram yang dipercayai dibom,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Che Engku Suhaimi berkata, hasil siasatan awal ke atas sampel ikan yang terdapar di atas bot berkenaan mendapati organ dalaman hancur disyaki kesan daripada aktiviti mengebom.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 400 kilogram ikan dianggarkan bernilai RM50,000.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya mengingatkan kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan bahawa memiliki ikan atau hasil laut yang ditangkap menggunakan bahan letupan adalah satu kesalahan yang sangat serius.
“Ini kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin terjejas.
“Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana- mana undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – Info X