Search

ECoS iktiraf 16 Pengurus Tenaga Elektrik bertauliah

September 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) mengiktiraf seramai 16 Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar ECoS (EREEM) selepas lulus peperiksaan pada 5 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata pengiktirafan itu penting untuk memastikan EREEM memenuhi syarat kelayakan.

Katanya, ia juga bagi memastikan mereka mampu memenuhi tanggungjawab seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik yang Cekap (EMEER) 2024.

“Hari ini, kita bukan saja meraikan pengiktirafan EREEM tetapi juga menegaskan semula komitmen kita terhadap penggunaan tenaga yang lebih cekap.

“Kepakaran golongan profesional ini adalah penting untuk pembangunan tenaga yang lebih lestari di Sabah, di samping memastikan standard pengurusan tenaga mematuhi piawai industri,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu selaras dengan usaha ECoS untuk memastikan semua pengurus tenaga elektrik dan Certified Energy Manager (CEM) yang berkhidmat atau bercadang untuk berkhidmat di Sabah harus berdaftar dengan ECoS menjelang 2 Januari 2025.

Jelasnya, EREEM berfungsi sebagai individu berkelayakan dan berdaftar yang memberikan khidmat juruperunding dan pemantauan berterusan kepada syarikat premis komersial dan industri dalam mematuhi keperluan perundangan yang berkuatkuasa di Sabah.

Berdasarkan EMEER 2024, katanya, mana-mana syarikat mempunyai pepasangan yang menerima atau menjana tenaga elektrik menyamai atau melebihi tiga juta kWj bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan berturut-turut adalah dikehendaki untuk melantik EREEM bagi memenuhi kehendak perundangan itu.

Abdul Nasser berkata, ketidakpatuhan terhadap perundangan adalah suatu kesalahan di bawah Peraturan 22, EMEER 2024, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebihi setahun, atau kedua-duanya sekali. – Info X