Search

Lelaki melecur, dua bot terbakar di Tawau

September 29, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan dalam kebakaran dua bot di jeti pasar ikan, di sini, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.41 pagi.

Katanya sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan dua bot yang terbakar 10 peratus setiap bot berkenaan.

“Api berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa melecur di bahagian tangan dan dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Pasukan bomba membuat pemotongan di kawasan kebakaran untuk memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Operasi ditamatkan pada jam 8.11 pagi,” katanya. – Info X