Search

Rumah Warga Tua Kendiri Telupid siap Disember 2025

October 1, 2024

Info X Reporters

TELUPID: Sebuah pusat penjagaan dan perlindungan warga emas yang dinamakan Rumah Warga Tua Kendiri Telupid dibina di daerah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, berkata kerja pembinaan dijangka siap pada Disember tahun depan.

Katanya, projek bernilai RM2.5 juta itu penting bagi memenuhi keperluan masyarakat di daerah ini.

“Menerusi lawatan kerja ke Telupid, saya telah melawat tapak projek pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri Telupid.

“Projek ini adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA). Lokasi pembinaan berhampiran Pejabat JPKA Daerah Telupid,” katanya ketika lawatan ke projek itu, di sini, semalam.

Katanya, projek itu merangkumi pembinaan bangunan asrama dan bangunan pentadbiran yang akan menempatkan warga emas memerlukan penjagaan dan perlindungan.

“Golongan sasaran adalah warga emas yang masih sihat tetapi keseorangan, tiada tempat tinggal dan masih mampu berusaha.

“Asrama ini akan menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat, memastikan kesejahteraan fizikal dan mental mereka terjaga.

“Selain itu, bangunan pentadbiran akan berfungsi sebagai pusat pengurusan yang mengatur segala keperluan dan aktiviti penghuni,” katanya.

Beliau berharap rojek itu dapat memberi peluang kepada warga emas untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna dengan sokongan komuniti dan kemudahan yang disediakan.

“Dalam masa yang sama, pusat ini juga diharap memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk menyumbang dan berusaha dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Walter Kenson dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri, Jais Asri. – Info X