Search

Pemimpin UMNO pertahan penubuhan JPKKP di Sabah

October 1, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Pemimpin UMNO Sabah mempertahankan langkah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah sebagai satu keperluan bagi memudahkan urusan kerajaan mentadbir kampung.

Badan di peringkat kampung itu juga dilihat sebagai satu keperluan untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan selain menjadi medium penyaluran maklumat kepada rakyat.

Ketua UMNO Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, berkata tidak timbul isu pertindihan fungsi dan peranan JPKKP di negeri ini dengan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri.

Katanya, dakwaan pihak tertentu yang mempertikaikan penubuhan JPKKP kononnya boleh memecah belah perpaduan rakyat di negeri ini adalah tidak berasas.

“JPKKP dan JKKK adalah dua badan yang berbeza, tidak timbul isu pertindahan tugas apalagi boleh memecahkan perpaduan rakyat di negeri ini.

“Malah, ianya memberikan kebaikan kepada rakyat di negeri ini agar proses menjana kemajuan khususnya di luar bandar dapat diperkasakan,” katanya ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPKKP dan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM), di sini, semalam.

Sehubungan itu, Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Giat MARA Keningau berharap mereka yang dilantik ke jawatan itu mampu memainkan peranan yang efektif sebagai perancang dan pelaksana program di kampung.

Katanya wakil JPKKP dan JKDM perlu mempunyai upaya untuk menggerakkan penglibatan komuniti setempat dan menjadi penghubung di peringkat akar umbi yang akan menyampaikan masalah dan aduan kepada pihak berkuasa apabila berlaku sesuatu isu.

“Dengan amanah yang diberikan ini, setiap pengerusi JPKKP dan KKDM perlu memikul tugas serta tanggungjawab yang diberikan dalam mewujudkan kampung yang Sejahtera sejajar dengan konsep madani,” katanya. – Info X