Search

PRN17: Hajiji terima sokongan kekal sebagai Ketua Menteri

October 1, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Datuk Seri Hajiji Noor menerima sokongan untuk terus menerajui kepemimpinan negeri jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sokongan penuh terhadap Pengerusi GRS itu disuarakan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan pada Mesyuarat Tahunan bahagian itu, di sini, kelmarin.

Ketua Bahagiannya, Mazlan @ Joehari Manan, berkata pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat di Lumadan akan terus berdiri teguh menyokong kepemimpin presiden parti itu sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan dalam membawa panji-panji perjuangan dan kesatuan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah selepas pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Hajiji ketika ini perlu dikekalkan atas tiga sebab yang dilihat sangat penting untuk kepentingan rakyat dan masa depan pembangunan Sabah.

Mazlan merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan.

“Pertama, kerajaan mempunyai hala tuju dan matlamat dalam membangunkan negeri Sabah dan kedua, kerajaan ini menyediakan terlalu banyak inisiatif dan bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada rakyat.

“Ketiga, kalau kita berbicara semangat seperti Sarawak, GRS adalah platformnya dan rakyat harus berubah mentaliti serta perspektif politik agar lebih melihat kepentingan parti tempatan dalam menerajui Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Katanya, sejajar usaha untuk memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat yang mahukan parti tempatan mentadbir negeri ini, kerajaan pimpinan Hajiji tidak mengabaikan hubungan dengan Kerajaan Pusat.

“Sebaliknya, kita akan terus memberi sokongan kuat kepada Kerajaan Pusat dan YAB Perdana Menteri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini penting kerana hubungan negeri-Pusat merupakan `jambatan’ yang dapat menjamin kemajuan negeri serta kemakmuran rakyat. Kerjasama erat ini jugalah yang akan dapat memberi jaminan kemajuan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada masa akan datang. Bukan prinsip kita menghayun kaki menongkah arus gelombang,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata ketika kerajaan negeri terus mengukuhkan hubungan dengan Kerajaan Pusat, ia haruslah terus menuntut sepenuhnya pelaksanaan MA63 yang berbaki beberapa tuntutan lagi.

Jelasnya, langkah itu adalah demi keadilan dan pengiktirafan pembentukan negara Malaysia.

Pada masa sama, katanya Kerajaan Negeri juga harus memantau secara rapi peruntukan kementerian kerajaan Pusat yang disalurkan kepada Sabah.

“Ianya haruslah adil dan mengambil kira keadaan geografi dan keperluan rakyat Sabah. Kesilapan terdahulu dan ketidakadilan kementerian inilah menyebabkan sekolah-sekolah dan klinik kesihatan di negeri ini banyak yang daif, begitu jugalah infrastruktur lain yang kita banyak ketinggalan,” katanya. – Info X