KUNAK: Lelaki yang dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan ditemukan maut dengan keadaan mayatnya tidak sempurna di sungai Ladang KLK Jatika, di sini pagi tadi.
Mayat Ridwan Nawir, 50, ditemukan oleh pasukan penyelamat bersama orang awam pada jam 9.41 pagi kira-kira 600 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak Mohammad Omarbatha berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pada hari kedua.
“Operasi dimulakan pada jam 7.10 pagi dengan menggunakan bot pasukan operasi dan orang awam di sepanjang sungai tempat mangsa dilaporkan dibaham buaya.
“Bagaimanapun, jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna iaitu sebelah kaki, kepala dan separuh badan sudah tiada. Kita syaki dibaham buaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohammad berkata, mayat mangsa dibawa ke kawasan kampung dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian dan operasi ditamatkan pada jam 10.48 pagi selepas semuanya selesai,” katanya.
Terdahulu, mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di sungai berkenaan pada pagi semalam.
Menurut saksi iaitu kawan mangsa bahawa lelaki terbabit telah disambar buaya di sungai berkenaan, sebelum membuat laporan kecemasan mengenai kejadian itu. – Info X