KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak perlu melaksanakan Pelan B jika permintaan kedua-dua negeri untuk pengembalian 35 peratus kuota kerusi Parlimen tidak dipenuhi kerajaan Persekutuan.
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Kenny Chua, berkata kedua-dua wilayah Borneo itu tidak boleh beranggapan bahawa satu hari nanti kerajaan Persekutuan pasti akan memberi mereka suara satu pertiga dan kuasa membuat keputusan di Parlimen.
“Saya berpendapat Sabah dan Sarawak perlu berbincang mengenai Pelan B. Jika permintaan kita tidak dipenuhi, kita harus tahu apa langkah yang seterusnya.
“Langkah itu mesti selari dengan aspirasi sebenar rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai kemungkinan Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membatalkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sejajar dengan itu, Kenny menekankan kepentingan mempunyai perwakilan satu pertiga di Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk memastikan bahawa MA63 terus terpelihara.
“Ini satu kebimbangan yang serius yang kita semua perlu lihat. Ia boleh berlaku kerana kita adalah minoriti dalam Parlimen.
“Oleh itu, sama ada kita boleh menunggu sehingga Tuhan tahu bila tuntutan kita dipenuhi atau kita boleh mula meneroka jalan bagaimana kita boleh berada beberapa langkah di hadapan,” katanya.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan melihat Sabah dan Sarawak merayu untuk hak mereka, sedangkan ketika Malaysia ditubuhkan, kedua-dua negeri bersama Singapura membentuk satu pertiga kerusi di Parlimen.
Bagaimanapun, katanya apabila Singapura keluar dari Malaysia, kerusi di wilayah itu diambil oleh Tanah Melayu, berbanding diberi secara adil kepada wilayah Borneo.
Kenny berkata, beliau bersetuju dengan Abang Johari bahawa kepentingan Sabah dan Sarawak tidak terjamin jika kedua-dua negeri tidak mempunyai satu pertiga kerusi di Parlimen.
“Ketika ini, Sabah dan Sarawak hanya mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen, iaitu hanya mewakili kira-kira 25 peratus.
“Kerajaan Persekutuan mesti menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam pembentukan negara dan bukan sebagai negeri seperti di Semenanjung.
“Ini adalah fakta sejarah yang sangat penting dan kita mesti sentiasa ingat. Jika peranan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara diiktiraf, maka hak kita mestilah dihormati dan dikembalikan,” katanya.
Bagaimanapun, Kenny berkata, ironinya, walaupun sebagai rakan, Sabah kekal menjadi yang termiskin di negara ini.
Katanya, ia bukan disebabkan ketidakmampuan untuk Sabah membangunkan sendiri wilayahnya atau kerana kekurangan sumber alam semulajadi atau manusia. – Info X