KOTA KINABALU: Satu konsert amal disertai beberapa artis dan kumpulan kugiran tempatan diadakan di sini, Ahad lalu bagi membantu seorang rakan pemuzik yang sedang terlantar sakit.
Konsert Music For a Cause: Charity Concert 2.0 itu berlangsung di Shamrock Irish Bar, di sini pada Ahad lalu bagi mengumpul dana untuk kos rawatan dan penjagaan Camilus Pion.
Konsert amal kali kedua itu adalah usaha bersama rakan pemuzik dan keluarga terdekat Camilus yang diterajui Sham Ekong dan Darren Juing dari Headhunters Band.
Kedua-dua konsert amal itu bertujuan mengumpul dana untuk membantu Camilus yang kini terlantar atas katil sepanjang masa dan perlu mendapatkan penjagaan rawatan rapi.
Kumpulan kugiran atau band dan artis membuat persembahan secara percuma sepanjang konsert berkenaan sambil menggalakkan sumbangan derma untuk Camilus.
Jurucakap konsert amal itu, Constantine Palawan, berkata selain usaha untuk membantu rakan pemuzik yang dalam kesusahan, acara itu juga disasar memberi kesedaran kepada orang ramai dan kerajaan negeri mengenai kepentingan bakat tempatan Sabah.

“Kita ada ramai bakat yang boleh diketengahkan untuk membantu pembangunan industri seni dalam negeri, begitu juga dari segi pelancongan,” katanya.
Katanya, sepanjang konsert amal itu, selain galakan untuk menyumbang menerusi tabung derma, penganjur turut mengadakan jualan bidaan barangan koleksi dan minuman berkualiti tinggi bagi menambah kutipan derma.
Constantine juga berharap agar konsert seterusnya nanti mendapat sokongan yang lebih besar pelbagai pihak untuk membantu pemuzik Sabah yang lain dalam kesusahan. – Info X