Search

PRN17: Jangan bawa pendekatan politik Semenanjung ke Sabah

October 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menasihatkan pemimpin DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin supaya tidak membawa pendekatan politik Semenanjung ke Sabah.

Setiausaha Politik kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Ir Aziz Julkarnain, berkata Foong Hin perlu memahami dinamika politik di Sabah yang jauh berbeza berbanding di Semenanjung.

“Sabah terkenal dengan toleransi kaum dan agama yang tinggi. Jangan sesekali membawa pendekatan politik Semenanjung ke sini.

“Jika benar ingin bekerjasama, lakukan dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar menunjuk kuasa politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang menyentuh isu pertelingkahan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh dengan pemimpin DAP, Teresa Kok dan isu halal ketika ditanya penerimaan DAP untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Aziz berkata, tindakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu dilihat cuba mencampuri urusan dalaman parti dalam konteks kerjasama politik di Sabah.

Tegasnya, isu itu tidak seharusnya dijadikan prasyarat untuk kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Katanya, UMNO Sabah tidak terdesak untuk bekerjasama dengan DAP, namun meletakkan kepentingan kestabilan politik sebagai keutamaan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

“Kami tidak terhegeh-hegeh tetapi ini soal tanggungjawab dalam memastikan politik di negara ini kekal stabil untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Foong Hin bersifat angkuh dan tidak mencerminkan pendirian PH secara keseluruhan.

“Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri telah menegur Teresa Kok agar tidak menyentuh perkara sensitif secara terbuka.

“Terdapat saluran yang betul untuk menyampaikan pendapat dan menghebahkan isu sebegini hanya akan merosakkan hubungan antara kaum. ‘It takes two to tango’, dan perbalahan terbuka tidak akan membantu memperkukuhkan kerjasama,” katanya.

Mengulas isu pensijilan halal yang turut dibangkitkan, Aziz menjelaskan bahawa tujuan utama pensijilan halal adalah untuk memberi keyakinan kepada pelanggan Islam dalam memilih premis makanan tanpa mengira latar belakang pengusaha.

“Ia bukanlah soal diskriminasi tetapi untuk mengelakkan kekeliruan dan perlu diingat, ia masih di peringkat kajian, belum dilaksanakan pun,” katanya.

Aziz berkata, UMNO Sabah berharap semua pihak memberi tumpuan kepada kerjasama yang konstruktif demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Jelasnya, segala perbezaan politik perlu diselesaikan dengan cara yang matang dan bertanggungjawab.

Sebelum ini, Foong Hin dilapor menyarankan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya mengendalikan pemimpin Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai kerjasama BN-PH untuk PRN17.

Katanya, pendekatan bercorak ekstremisme seperti menyebut ‘nyonya tua’ sebagai tidak beradab dan tidak akan diterima di Sabah. – Info X