KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen di Sabah perlu ditambah bersama dengan Sarawak untuk mencapai satu pertiga daripada jumlah kerusi di seluruh negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri sudah menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 12 September lalu.
Katanya, perbincangan peringkat pegawai mengenai usaha menambah kerusi Parlimen juga sudah dibuat dua kali dengan Sarawak.
“Kita sudah bincang dengan kerajaan Sarawak dua kali di peringkat pegawai untuk kita meminta sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen.
“Ini termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila kita menubuhkan Malaysia. Jadi, kita telahpun menyatakan hasrat dan kemahuan kita ini kepada Perdana Menteri pada mesyuarat MTPMA63, 12 September lalu,” katanya ditemui pemberita di Universiti Malaysia Sabah (UMS), semalam.
Ditanya maklum balas Perdana Menteri berhubung tuntutan itu pada mesyuarat MTPMA63 yang lalu, Hajiji berkata ketika ini ia di peringkat untuk melihat kawasan persempadanan.
“InsyaAllah kita kena tengok dari segi keadaan kawasan, kedudukannya dan luasnya untuk Sabah.
“Ini adalah untuk menyeimbangkan apabila kita membuat sesuatu, memperkenalkan sesuatu perlembagaan dalam Parlimen untuk memastikan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak juga diambil kira,” katanya.
Katanya, Sabah memang memerlukan tambahan kerusi Parlimen berdasarkan kedudukannya sebagai negeri yang besar selepas Sarawak.
“Memang kita perlu tetapi untuk menjadikan satu kerusi Parlimen itu, bilangan pengundi atau penduduk mesti juga diambil kira, takkan satu kawasan Parlimen pengundinya hanya 20,000, ini sebagai contoh.
“Jadi, kita akan terus meminta dan berbincang dengan kerajaan persekutuan mengenai perkara ini, insyaAllah ada pertambahan,” katanya.
Hajiji juga mengesahkan sudah ada cadangan jumlah kerusi Parlimen yang perlu ditambah di Sabah, namun beliau belum bersedia untuk mendedahkannya.
Ketika ini, Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, manakala 31 kerusi di Sarawak.
Berdasarkan jumlah itu, sekurang-kurangnya sebanyak 22 kerusi perlu ditambah bagi mencapai jumlah satu pertiga atau 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di seluruh negara.
Sabah dan Sarawak menuntut kuota satu pertiga itu dikembalikan seperti yang dilaksanakan pada awal pembentukan Malaysia, ketika Singapura masih bersama persekutuan. – Info X