KOTA KINABALU: Seramai 206 peserta mewakili 17 negara mengambil bahagian dalam Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu Ke-31 di Kundasang, Ahad ini.
Seramai 155 daripada jumlah itu ialah peserta Malaysia dengan 83 orang dari Sabah, diikuti 33 peserta dari Selangor dan 13 orang dari Kuala Lumpur, manakala selebihnya dari negeri lain.
Peserta dari Brunei Darussalam pula mewakili pelumba antarabangsa paling ramai pada edisi perlumbaan kali ini dengan seramai 16 orang.
Ia diikuti peserta dari Indonesia dan Singapura dengan masing-masing tujuh orang, diikuti peserta dari Filipina (empat) serta Perancis dan Jepun dengan masing-masing tiga peserta.
Peserta antarabangsa lain ialah dari Australia, China, Britain, Hungary, Peru, Poland, Sweden, Taiwan, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Perlumbaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu Elit Lelaki (74 peserta), Elit Wanita (60 peserta) dan Lelaki Veteran seramai 72 peserta.

Ketiga-tiga kategori masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM8,000 untuk juara, diikuti RM6,000 (kedua), RM4,000 (ketiga), RM1,000 (keempat), RM900 (kelima), RM800 (keenam), RM700 (ketujuh), RM600 (kelapan), RM500 (kesembilan) dan RM400 (ke-10).
Secara keseluruhan, perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM77,700.
Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu dianjurkan setiap tahun sejak 1987, namun dihentikan seketika sejak 2018, sebelum diadakan semula pada tahun ini.
Perlumbaan membabitkan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sejauh 13.3 kilometer sebelum turun semula dengan jarak yang sama dengan ketinggian 4,095 meter dari paras laut. – Info X