Search

Wanita selamat kereta terbabas ke dalam gaung

October 3, 2024

Info X Reporters

TAMPARULI: Seorang wanita cedera selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 60 meter dalam kejadian di Jalan Tamparuli-Ranau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 22 tahun terbabit bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.09 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi membantu mangsa.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax yang terbabas ke gaung sedalam 60 meter.

“Terdapat seorang mangsa yang mengalami kecederaan dan terpaksa dibawah naik menggunakan tali ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kenderaan dinaiki mangsa terbabas dan jatuh gaung di Jalan Tamparuli-Ranau, hari ini. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk rawatan susulan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang,” katanya. – Info X