TAWAU: Empat kilang memproses makanan di daerah ini diarah tutup serta-merta selepas dikesan gagal mematuhi tahap kebersihan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983.
Berdasarkan pemeriksaan Pejabat Kesihatan Tawau menerusi operasi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) hari ini, premis terbabit bukan saja kotor dan meloyakan, malah dicemari najis tikus.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, menerusi operasi PJKM itu, pihaknya memeriksa 16 premis dan nengeluarkan 15 kompaun sepanjang tiga hari operasi.
“Dalam operasi ini, kita juga mengambil tindakan menutup serta-merta empat kilang memproses makanan kerana tahap kebersihannya sangat rendah dan ditemukan najis tikus di dalam premis berkenaan.
“Selain itu, kilang berkenaan juga tidak memiliki Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) walaupun sudah lama beroperasi,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu juga membuat sitaan hampir tiga tan barangan makanan yang sudah diproses tanpa memenuhi tahap kebersihan ditetapkan.
Keempat-empat kilang terbabit, katanya ditutup selama 14 hari dan dipantau supaya tidak melanggar arahan penutupan.
“Kita akan membuat pemantauan supaya mereka tidak melanggar arahan dan pemilik kilang terbabit boleh memohon kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau untuk diberikan kebenaran beroperasi.
“Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau akan mewajibkan pemilik kilang terbabit mengambil sijil MeSTI supaya mereka dapat dibimbing untuk mengikuti prosedur kebersihan yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Dr Shameer berkata, operasi itu bagi memastikan tahap kebersihan dan jaminan keselamatan makanan penduduk di daerah ini.
Selain itu, katanya operasi itu juga bagi memastikan semua pembekal dan pengilang yang beroperasi di daerah ini mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Makanan.
“Saya menasihatkan semua pembekal dan pengilang di daerah ini supaya mengikuti prosedur yang ditetapkan bagi memastikan makanan yang diproses selamat dimakan oleh orang awam,” katanya. – Info X