Search

Hanya anak golongan kurang mampu patut diberi biasiswa, subsidi yuran pengajian

October 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu meletakkan syarat bagi memastikan hanya anak golongan kurang berkemampuan menikmati biasiswa atau subsidi yuran kemasukan ke universiti awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata pemberian kemudahan itu kepada semua golongan, termasuk yang kaya adalah tidak adil bagi golongan berpendapatan rendah.

Katanya, bantuan itu perlu diagihkan dengan adil kepada golongan yang kurang berkemampuan, berbanding ketika ini yang mana golongan berada dan berkemampuan turut menikmatinya.

“Adalah sangat tidak adil anak ahli perniagaan terkenal, pemimpin politik dan penjawat awam berpangkat kanan memperolehi kemudahan subsidi. Ini adalah satu ketirisan.

“Sepatutnya tawaran subsidi atau biasiswa mempunyi kerangka yang jelas dan ada proses pemilihan, mana golongan yang layak perlu dibantu supaya jurang kemiskinan dan kaya dapat dirapatkan.

“Saya melihat agihan subsidi yuran pelajar dipelopori oleh pelajar anak orang kaya kerana pengaruh kekayaan ibu bapa mereka, sementara anak orang miskin sekadar menjadi perintis di belakang.

“Ini tidak adil dan ia perlu diubah kerana pelajar golongan B40 yang cemerlang dan berbakat besar dalam pendidikan mempunyi ruang yang sempit berbanding golongan kaya,” katanya.

Sehubungan itu, Masiung menggesa kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan kerangka baharu subsidi untuk dibentangkan dalam Kabinet supaya rakyat melihat kerajaan pada hari ini bersikap adil kepada penduduk miskin.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sebahagian besar subsidi yuran pengajian ditanggung kerajaan bagi kursus peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di UA serta turut dinikmati anak golongan bangsawan dan ternama.

Beliau memberi contoh, yuran pengajian peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menelan belanja RM88,152 bagi tempoh pengajian empat tahun, namun menerusi subsidi itu pelajar hanya perlu membayar RM7,520 sahaja.

Subsidi itu meliputi semua pelajar kemasukan tahun akademik 2024/2025, termasuk dari keluarga berpendapatan tinggi.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata subsidi yuran universiti kepada anak golongan kaya mungkin dihentikan. – Info X