TENOM: Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) (Komuniti Desa Madani) diwujudkan di Sabah bagi mengimbangi kuasa di peringkat daerah.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jawatankuasa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu diperkenalkan selepas ramai pemimpin akar umbi dari UMNO / BN ditamatkan perkhidmatan.
“Pemimpin akar umbi sebelum ini seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Pemaju Mukim, Pengerusi JKKK dari UMNO / BN ditukar atau ditamatkan perkhidmatan mereka dan kini dimonopli oleh satu kelompok dari satu parti sahaja.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam ucapan pemimpin utama negeri, mengakui menyokong konsep Kerajaan Perpaduan, namun sebaliknya bukan setakat pelantikan jawatan yang tidak seimbang malah kawasan DUN yang diwakili wakil rakyat dari UMNO / BN tidak mendapat peruntukan tahunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penyerahan watikah pelantikan JPKKP (Komuniti Desa Madani) bagi DUN Kemabong dan Melalap di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang juga ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony; Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Jamal Nerubi, Ketua UMNO Tenom, Datuk Raimee Unggi; Pegawai KEMAS Daerah Tenom, Riyanti Mikail dan Pengurus Giat MARA Tenom, Didie Norhazrilah Latif.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, berikutan situasi dihadapi UMNO / BN di Sabah ketika ini, beliau terpaksa berunding dengan kerajaan Pusat, khususnya KKDW bagi mewujudkan JPKKP di Sabah.
Katanya, jawatankuasa itu bagi mengimbangi keperluan pembangunan berdasarkan kepadatan dan geografi di Sabah, khususnya di luar bandar yang masih memerlukan perhatian dari aspek pembangunan dan peningkatan sosio ekonomi rakyat.
“Kita yakin dengan kewujudan JPKKP di setiap kampung di negeri ini mampu memperkasakan lagi aspek pembangunan dan peningkatan sosio ekonomi masyarakat luar bandar yang masih memerlukan perhatian dari kerajaan Pusat.
“Walaupun kerajaan negeri telah mengiktiraf rakyat Sabah sudah bebas dari garis kemiskinan namun sebaliknya masih ada rakyat di kawasan luar bandar memerlukan pembelaan,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata dengan peruntukan sebanyak RM100,000 setahun kepada setiap JPKKP di negeri ini, ia boleh dimanafaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi masyarakat kampung.
Jelasnya, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan, sama ada projek kecil dan program ekonomi seperti penganjuran kursus jahitan, makanan dan kraftangan bagi memberi kemahiran kepada penduduk untuk menceburi bidang perniagaan.

“Selepas pelantikan ini, KEMAS akan memberikan taklimat atau kursus untuk menyelaraskan fungsi serta peranan JPKKP terutamanya untuk membuat perancangan dan pelaksanaan projek atau program di kampung, di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar menegaskan tidak timbul isu daripada mana-mana pihak di negeri ini yang tidak mengiktiraf pengwujudan JPKKP kerana ia diiktiraf oleh kerajaan Pusat.
Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang menerima watikah pelantikan sebagai pengerusi JPKKP perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan membuktikan keupayaan serta tanggungjawab di kampung masing-masing.
“Pikul tanggugjawab serta amanah yang diberikan, jangan hilang fokus, jika kerajaan negeri tidak mengiktiraf pelantikan ini, kerajaan Pusat yang mengiktiraf pelantikan tuan-tuan,” katanya. – Info X